WEB BLOG
this site the web

Recent Photos

image
image
image

Calon Pakatan Rakyat : Dun Tenang

video

Khidmat Cikgu Mala terus bersama masyarakat

LABIS, 17 Jan: Dewan Muslimat PAS Pusat berharap pengundi dalam Dun Tenang menjadikan pilihan raya kecil (PRK) pada 30 Januari ini sebagai antara langkah menilai khidmat berbeza wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) selama ini.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, lihatlah bagaimana Kerajaan Kelantan sudah berjaya ditadbir dengan baik sejak 20 tahun lalu corak pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, pengundi Tenang boleh melihat dengan lebih dekat lagi berdasarkan bagaimana kelainan perkhidmatan yang ditunjukkan oleh enam wakil rakyat PR dalam Dun Johor sejak Mac 2008.

(Gambar: Normala di samping suami, Makrof Abd Mutalib.)

Daripada enam wakil PR itu, dua darinya adalah dari PAS iaitu Dr Mohamad Taslim di Dun Maharani dan Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (Sungai Abong) sekaligus membuktikan rakyat di Johor juga mampu membuat perubahan ke arah terbaik.

"Setelah melihat perbezaan ketara bagaimana kejayaan PR memerintah empat negeri dan peranan mereka di Dun Johor, menjadi kewajipan untuk pengundi di Dun Tenang khususnya bijak merebut peluang terbuka luas memilih calon PR dalam PRK 30 Januari ini," tegasnya.

Pengundi dan rakyat yang berada di dalam Dun Tenang ini, jelasnya, akan merasakan khidmat bakti yang bakal ditunjukkan oleh Cikgu Normala Sudirman yang selama ini memang sudah sering bersama rakyat setempat.

Jawatan yang diamanahkan kepada beliau sebagai Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Tenang yang berpejabat di sini, memang mendedahkan beliau dan orang ramai demi memudahkan urusan kebajikan diuruskan dengan sebaik-baiknya.

Ketika diminta komennya bila calon Muslimat dipilih kali ini, Ustazah Nuridah mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kasih khususnya kepada pimpinan PAS dan PR amnya kerana memberikan laluan kepada calon Muslimat bertanding di Tenang.

Justeru, tegasnya, pimpinan Muslimat di semua peringkat dan Wanita PR akan berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha memenangkan calon penegak kebenaran dalam PRK kali 14 selepas PRU 12 pada 2008 lalu.

"Kami merancang untuk turun ke semua tempat dan bertemu dengan setiap pengundi di Dun Tenang bagi menyampaikan hasrat murni PR untuk memberikan khidmat serta kebajikan rakyat," jelasnya.

Ustazah Nuridah akui mengetahui penglibatan Cikgu Mala dengan PAS sejak zaman belajar lagi di bawah kepimpinan Dr Rosni Adam yang ketika itu bekerja di Johor pertengahan 1990an.

Tambahnya, di sinilah terbukti kesungguhan calon PAS ini kerana berusaha mendekatkan diri dengan jamaah seterusnya dipercayai sebagai Setiausaha Dewan Muslimat Kawasan Labis, seingatnya ketika Dr Rosni sebagai Ketua Muslimat Labis pertama.

Setelah itu, mereka sering bertemu di dalam banyak program parti sementelahan jawatan yang dipegang masing-masing menyebabkan hubungan mereka menjadi semakin akrab.

Sejak dua tahun terakhir ini, bila Cikgu Mala dilantik menjadi Exco Dewan Muslimat PAS Pusat selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan dewan itu, mereka memang kerap bertemu.

Ekoran mengenali beliau dengan rapat, Ustazah Nuridah berani mengatakan, Cikgu Mala mempunyai perawakan menarik sebagai seorang yang bekerja keras demi mencapai cita-cita besarnya.

Dalam hal ini, kesungguhan beliau terbukti kerana mempunyai persiapan lengkap untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya umum ke 13 nanti yang dijangka pertengahan 2011.

Malah segala persiapan ini mula digerakkannya bukan selepas kematian Adun BN tetapi jauh lebih awal daripada tarikh itu; sepatah kata Presiden, 'parti yang meminta Cikgu Normala menjadi calon dalam PRK ini'.

Ustazah Nuridah turut berada dalam majlis pengumuman calon PR yang dilakukan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dataran Wayang Pacak, dekat sini malam tadi.

"Saya sendiri terperanjat sebaik sampai di Pekan Labis ini, kerana Cikgu Mala sudah bersiap untuk menghadapi PRU 13 dengan menyewa dua lot bangunan kedai.

"Perancangan ini dilakukannya dengan pejabat Dewan Muslimat di sebelahnya dengan hasrat untuk membuka kelas tusyen kepada pelajar-pelajar sekolah yang memerlukannya.

"Inilah perancangan dan ketetapan Allah SWT di mana sebelum datang PRU 13, berkunjung dulu PRK ke 14 selepas PRU 12 pada 2008 lalu," jelasnya lagi.

Selain itu, Ustazah Nuridah menyebutkan lagi antara kelebihan yang dimiliki Cikgu Mala adalah keterlibatan dengan berbagai golongan masyarakat termasuk PIBG dan Persatuan Puteri Islam.

Hasilnya, beliau telah mendapat anugerah Guru Cemerlang Daerah dan kerana itu juga, selain sebagai anak tempatan, beliau mengenali ibu bapa dan guru di merata tempat.

Orang ramai tertarik dengan stail beliau bercakap kerana memang terlatih sebagai trainer dan pemidato yang sering mengikuti program profesional itu sehingga ke Sabah.

Ustazah Nuridah bercakap berkongsi pengalaman beliau kepada Harakahdaily ketika bersama-sama dengan Cikgu Mala melawat Pasar Awam Pekan Labis, pagi tadi.

Sebelum rombongan yang turut disertai Wanita PR antaranya Ketua Wanita DAP, Chong Eng turut melawat kedai kopi, Pasar Tani Pekan Labis dan bertemu dengan masyarakat Cina di seputar lokasi berkaitan.

Nampak dengan jelas penerimaan anggota masyarakat terhadap kehadiran Cikgu Mala yang langsung tidak kekok dan terus beramah mesra dengan semua lapisan rakyat.

Kekuatan pengaruh Cikgu Mala, jelas Ustazah Nuridah terbukti kuat, bila mana arahan pihak Pelajaran Johor memindahkan tempat kerja suami calon, Cikgu Makrof Abdul Mutalib ke Johor Bharu ditarik balik.

Tiada alasan yang diberikan ekoran khabar angin kencang menyatakan isterinya bakal dipilih sebagai calon PAS dalam PRK Dun Tenang, suaminya dikatakan aktif berjamaah sejak di kampus UM lagi.

Ekoran bantahan banyak pihak termasuk hasrat mengadakan sidang media mengenai isu berkaitan serta daripada pengaruh Cikgu Mala sendiri yang banyak terlibat dalam persatuan guru, memo pindah 24 jam itu ditarik balik.

Berdasarkan peristiwa ini, Ustazah Nuridah menegaskan, inilah antara satu petanda Cikgu Mala mempunyai merit besar untuk berjaya mewakili rakyat terbanyak di Dun Tenang kali ini.

Ketua Muslimat PAS ini meletakkan harapan tinggi kepada pengundi di Tenang ini agar dapat memberikan undi mereka kepada calon PR pada 30 Januari ini.

Menurutnya, tiada siapa yang akan rugi meskipun mereka masih sayang pada Umno kerana satu Dun itu jika terlepas dari BN, ia tidak menjejaskan kedudukan BN memerintah Johor.

Sebaliknya, tegas Ustazah Nuridah, jika PR berjaya memenangi PRK kali ini, semua rakyat termasuk pengundi di Dun Tenang akan dapat merasai kelainan dan beza perkhidmatan berbanding BN selama ini.

"Kami amat berharap semua pengundi di Tenang ini akan memberikan sokongan padu mereka kepada PR, jangan takut untuk berubah demi kebaikan dan menerima tawaran khidmat kami untuk rakyat demi sebuah kebenaran.

Sumber : http://harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30397:khidmat-cikgu-mala-terus-bersama-masyarakat&catid=1:utama&Itemid=50

Benarkah Kita Berjuang...?

Sumber : episodeperjuangan.blogspot.com/2009/04/benarkah-kita-berjuang.html

Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?

Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah swt. tiba - tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi [ malas ]

Kenapa jadi begitu ? Adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat ?

Ketahuilah ! Sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu , berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt. adalah sangat kecil nilainya disisi Allah swt .

Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan , nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih .

Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 - 39

Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita berjuang ?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri .

Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? Kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .

Benarkah kita berjuang ? Dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? Apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? Sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .

Benarkah kita berjuang ? Seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah - seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita . Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman . Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka - muka .

Benarkah kita berjuang ? Suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah . Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan .

Benarkah kita berjuang ? Kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka , maka kita tolak mentah - mentah . Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .

Benarkah kita berjuang ? Kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin . Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calun pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan . Soal mampu atau tidak , soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran . Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita .

Benarkah kita berjuang ? Wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .

Benarkah kita berjuang ? Hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita . Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non muslim . Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri . Kita orang PAS ceramah pasal PAS dalam markas PAS kepada orang PAS , habis tu bila Islam ni nak lePAS ?

Benarkah kita berjuang ? Peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan . Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati . Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam . Penampilan diri juga dinuetralkan agar tidak dianggap fundamental .

Benarkah kita berjuang ? Kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan . Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang , jauh sekali untuk rakyat yang terhimpit . Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah meluka perasaan anggota jamaah sendiri .

Benarkah kita berjuang ? Ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .

Benarkah kita berjuang ? Kadang - kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri . Kita sebut kepimpinan ulama' tetapi kita tidak beradab dengan ulama' . maki hamun ulama' dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa .

Benarkah kita berjuang ? Kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan . jamaah kita ni gerakan Islam ke ? atau parti politik semata ? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati . Matlamat kita , dustur kita , landasan kita , ikutan kita , cita - cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita . malang , sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula .

Benarkah kita berjuang ? Banyak sungguh dosa kita . Makin berjuang makin tambah dosa . Dosa mengumpat , dosa mengutuk , dosa salah sangka , dosa mencantas , dosa memfitnah , dosa menipu , dosa tidak taat kepada pimpinan , dosa tidak tunai amanah perjuangan , dosa dedah rahsia jamaah , dosa khianat kepada sahabat seperjuangan , dosa hipokrit , dosa melukakan hati anggota jamaah , dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah , dosa mata , dosa tangan , dosa kaki , dosa telinga , dosa mulut , dosa hati , dosa otak , dosa .... , dosa .... , dosa .....dan dosa .....

Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? Atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .

Hayya bina nu'min saah ! ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung [ introspection ] jauh ke dalam jiwa kita . Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri , sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri dipihak benar . Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf , jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri .

Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .

Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita berjuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .

Selamat berjuang sahabat ku !

BKAN Melaka : Wadah Dan Wahdah Yang Cuba Dihancurkan

Wisma Seri Melaka, 1.1.11; Umum mengetahui apa yang sedang dialamai oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan kehadiran Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam.

Kehadiran yang disambut dengan rasa penuh gembira oleh semua anak-anak Melaka yang berada di Mesir tiba-tiba bertukar menjadi kesedihan apabila Y.A.B. Datuk Seri telah mengumumkan satu perkara diluar jangkaan kami ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis di kediaman rasmi TYT Y.Bhg Prof. Madya Dr. Fakhruddin Bin Abdul Mukti bertarikh 28.12.2010 dengan menyatakan persatuan anak-anak Melaka yang sedia ada iaitu BKKIMM akan ditukar dengan persatuan baru yang diberi nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) serta pengiktirafan kepada BKKIMM akan ditarik semula.

Turut hadir dalam majlis tersebut kesemua delegasi Kerajaan Negeri Melaka serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) juga pegawai-pegawai Education Malaysia (EM). Lebih menyedihkan lagi, BKKIMM dituduh sebagai satu persatuan yang hipokrit.

Bagi saya, perkataan ini sebenarnya bukan lahir dari hati yang mulia Y.A.B. Datuk Seri bahkan telah didoktrin oleh ‘individu’ yang mempunyai hasat dengki kepada wadah dan wahdah anak-anak Melaka yang sudah sekian lama terbina. Saya yang turut hadir dalam majlis tersebut terus menyebarkan perkara ini melalui SMS dan YM kepada beberapa orang sahabat yang tidak bersama kami dalam majlis tersebut dan meminta untuk disebarkan kepada seluruh ahli BKKIMM.

Alhamdulillah, rupa-rupanya sensitiviti ahli BKKIMM mula bangkit ibarat hati meraka telah dijentik dengan isu ini sehingga menyebabkan ahli BKKIMM mula memberontak setelah sekian lama mereka membawa hasrat Kerajaan Negeri Melaka yang inginkan mahasiswa-mahasiswi Mesir bersama dengan kemajuan negeri Melaka.

Berlalu beberapa hari dalam menghadapi isu ini, dan melihat kepada setiap dimensi, BKKIMM telah menetapkan satu pendirian hasil harapan seluruh ahli BKKIMM agar BKKIMM terus dipertahankan di atas satu tujuan dan matlamat iaitu tidak ingin melihat wadah dan wahdah ini dihancurkan oleh ‘tangan’ yang di kawal oleh minda penjajah.

Sekian lama hubungan BKKIMM dengan Kerajaan Negeri Melaka terbina sebaiknya, ‘individu’ berminda penjajah tersebut datang dengan penuh hasat dengki melihat kesatuan ini.

Berdasarkan mafhum ayat 103 daripada surah Ali Imran, semestinya kita berpegang teguh kepada tali Allah swt dan jangan sesekali kita berpecah-belah. Untuk apa perkara ini direalisasikan? Tidak lain dan tidak bukan, bagi melaksanakan satu perintah Allah swt. menerusi ayat selepasnya yang bermaksud:

“Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh ke arah yang ma’ruf dan mencegah daripada melakukan kemungkaran dan merekalah orang-orang yang berjaya”

Wadah dan wahdah anak-anak Melaka melalui BKKIMM yang sekian lama terbina telah berusaha sedaya upaya melaksanakan perintah Allah swt. melalui ayat 104 surah Ali Imran. Justeru, usaha bagi menghancurkan wadah dan wahdah ini oleh ‘individu’ tersebut perlu diperangi sekuat mungkin oleh semua ahli BKKIMM.

Untuk apa ‘individu’ tersebut menghancurkannya? Bagi saya, ia semata-mata bagi melenyap dan membenamkan usaha murni ini. 34 tahun BKKIMM berusaha menyatukan anak-anak Melaka di Mesir, 4 bulan kedatangan ‘beliau’ cuba menghancurkan kesatuan ini serakus dan seghairah nafsunya. Tidak hanya setakat itu, ‘beliau’ berusaha menafikan kejayaan yang bakal terhasil dengan kesatuan ini kerana janji Allah itu pasti benar bagi mereka yang mengumpul kekuatan ummah dalam menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkran dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Di hujung ayat 104 surah Ali Imran, Allah swt. menjanjikan kejayaan bagi mereka yang melaksanakan tuntutan-NYA kalau tidak di dunia, di akhirat pasti sekali.

Justeru saya bagi pihak BKKIMM mengajak seluruh ahli BKKIMM bersatu hati dalam mempertahankan konvensi wadah dan wahdah ini. Bagi pihak pimpinan BKKIMM, kami akan terus berusaha agar pengiktirafan BKKIMM daripada Kerajaan Negeri Melaka diperoleh semula. Komitmen dan kesatuan kita semua bakal menghasilkan kejayaan yang gemilang satu hari kelak.

Insya Allah. Kita terus berdoa sekerap mungkin agar pihak Kerajaan Negeri Melaka menerima semula kesatuan anak-anak Melaka di bawah satu persatuan iaitu Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.


Wa Allahu Ta’la A’lam.

Harman Bin Hassan
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2010/2011.


Sumber : http://pmram.org

Salam Kembali

Assalamualaikum wbt...
Syukur kepada Allah swt atas kurniaan nikmat Islam dan Iman, nikmat yang terbesar kepada kita semua.

Alhamdulillah, terdetik dihati untuk kembali mengaktifkan jejari ini dalam lembaran penulisan. Terlalu lama bersawang. Namun, tiada mampu untuk menjurusi penulisan ini. Sekadar yang termampu setakat ini, hanyalah menyiarkan isu semasa yang terjadi.

Salam kembali, Salam kemaafan.

Coretan dalam kenangan

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan kehadrat Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul mulia yang telah menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Lama meninggalkan ruang ini bersendirian tanpa apa-apa bicara. Bersawang. Oleh kerana lama menyepi, maka banyak peristiwa yang ingin dikongsi. Alhamdulillah, baru-baru ini, dijemput untuk menyertai perlawanan bola tampar sempena Temasya Sukan Zagazig. Bersama-sama memeriahkan majlis tersebut adalah Saudara Ahmad Taufiq Mohd Dahlan, selaku Setiausaha Agung PMRAM juga merangkap Badan Pengurus angkat kepada PMRAM cawangan Zagazig.

Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bagi mereka yang dapat merasainya pasti kagum dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Apa yang ingin dikongsi adalah ketetapan yang Allah SWt tentukan kepada saya untuk menyertai program rehlah ke Matruh Siwa yang dianjurkan oleh persatuan Perubatan cawangan Zagazig. Penyertaan secara tiba-tiba kerana ada yang menarik diri pada saat-saat akhir.

Rehlah yang mengambil masa selama tiga hari itu amat memberi kenangan kepada saya. Kenangan dalam berukhuwwah. Namun, tidak dilupakan juga dalam asyik berseronok itu, diambil peluang untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta, Allah SWT. Keindahan, kedamaian ciptaanNya mampu meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Begitu besar kekuasaanNya.

Dalam menceritakan pengalaman rehlah ini, seawal program, masing-masing dengan gelagat yang tersendiri. Ada mahasiswa Perubatan, Pengajian Al-Azhar dan ada juga dikalangan sahabat-sahabat dari muhafazah yang lain termasuklah saya. Gabungan ini menunjukkan kepada kita akan kekuatan dalam berorganisasi. Ukhuwwah ini mampu untuk dijadikan benteng kepada perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Baginda SAW. Perjuangan Islam. Namun, apa yang akan berlaku, terserah kepada kita yang mengaturnya.

Manisnya ukuhuwwah yang tercipta bersama sahabat-sahabat. Harapan saya moga ukhuwwah ini akan terus mekar mewangi, dan ikatan ini jugalah yang hendak saya lihat dalam perjuangan Islam. Ianya akan menjadi satu kekuatan dalam mempertahankan Islam dari musuh-musuh durjana. Andaikata ada yang tersilap langkah, kita yang akan membetulkannya. Insya Allah.

Anak : Kenapa boleh jadi begini?

Bismillahirrahmanirrahim.

Suasana, keadaan dan masalah sosial yang berlaku di Malaysia amat menakutkan kita. Setiap hari kita dikhabarkan dengan berita bunuh, rogol, sumbang mahram dan sebagainya. Dimanakah silapnya?
Sempena dengan Hari Bapa hari ini, pelbagai kes diwartakan dalam akhbar tempatan. Kepada mereka yang bergelar anak, dimanakah nilai hormat kepada seorang ayah? Dimanakah nilai kasih sayang kepada sebuah keluarga? Mereka menatang kita bagai minyak yang penuh. Mereka membesarkan kita. Namun, apa balasan kita kepada mereka? Kebahagian? Kebaikkan? Kesenangan?Kenapa kita tidak mampu untuk memberi mereka kasih sayang setelah kita meningkat dewasa?



" Memang rindu,
tapi kalau mereka
tak sayang,
nak buat apa ".








Sedih apabila melihat gambar diatas. Kelihatan seorang bapa yang ditinggalkan sebatang kara tanpa pemerhatian anak-anaknya. 3o tahun ditinggalkan keseorangan, tanpa kasih sayang anak-anak. Wahai anak, dialah yang memberi minum, makan, pakai kita sewaktu kecil. Sanggup kau melakukan perkara ini kepada mereka. Tidakkah kau kasihankan mereka?

Kepada seluruh mereka yang bergelar anak, sedarilah, insafilah atas segala kesilapan dan kesalahan lalu. Sama-sama kita membaiki akhlak, membentuk jati diri yang mulia. Begitu juga dengan ibubapa, berilah sepenuh perhatian kepada anak-anak. Bukan hanya yang kecil menjadi tumpuan, yang remaja, dewasa sepatutnya perlu diambil cakna juga.

Mudah-mudahan perkara sedemikian rupa tidak sesekali akan berlaku kepada keluarga, adik-beradik, saudara-mara insan kerdil ini. Jua mengharapkan keadaan yang lebih baik untuk masyarakat semua. Sebelum melakukan sesuatu, fikirkan dengan sebaik mungkin. Yang pasti, untuk melihat semuanya kembali sempurna adalah kembali kepada Allah SWT.

رَبَّنَا اغْفِرْ لِى وَلِوَالِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

" Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan kedua ibubapaku serta orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

( Surah Ibrahim, ayat : 14 )

" Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua-dua ibubapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil ".





 

W3C Validations

Cum sociis natoque penatibus et magnis dis parturient montes, nascetur ridiculus mus. Morbi dapibus dolor sit amet metus suscipit iaculis. Quisque at nulla eu elit adipiscing tempor.

Usage Policies