WEB BLOG
this site the web

Sambutan 80 Tahun PMRAM di PMRAM cawangan Terengganu

11 April 2010 adalah ulangtahun PMRAM yang ke-80. Dengan usia yang sebegini lama, kita dapat simpulkan bahawa PMRAM telah melalui proses kematangan dalam pelbagai bentuk.

Sempena dengan sambutan 80 tahun PMRAM pada tahun ini, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) atau PMRAM cawangan Terengganu tidak ketinggalan dalam menganjurkan Solat Hajat Perdana. Program ini diadakan demi memohon perlindungan dari Allah SWT dalam menjaga kesatuan ini. Juga memohon diberi panduan dan kekuatan dalam meneruskan agenda dakwah dan kebajikan untuk ahlinya.

Agenda majlis dimulakan dengan solat Isyak secara berjemaah, kemudian diikuti solat hajat secara berjemaah yang diimami oleh Ustaz Shahrizan Mohd Hazime, Timbalan Presiden PMRAM 2009. Seusai solat hajat secara berjemaah, bacaan doa memohon keselamatan untuk kesatuan PMRAM dan ummat seluruhnya telah diketuai oleh Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim, selaku Naib Setiausaha PMRAM 2009. Majlis diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas oleh Ustaz Shahrizan.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ustaz Abdul Mui'zz Muhammad (Presiden PMRAM 2009), Ustaz Mohd Azrul Ismail (Naib Presiden I), Naib Presiden II (Penulis), Ustaz Zuhaili Saiman (Naib Presiden III), Ustaz Mohd Farkhan Md Zain (Badan Pengetahuan dan Penyelidikan), dan Ustaz Ahmad Taufiq Mohd Dahlan (Badan Penerangan dan Penerbitan).

Seusai semua agenda majlis, sedikit jamuan telah disediakan oleh pihak PMRAM cawangan Terengganu kepada tetamu-tetamu yang hadir. Apa yang terharu adalah, sebiji kek yang tertera diatasnya tulisan : PMRAM 80 tahun daripada KPT.

Terima kasih kepada pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu atau PMRAM cawangan Terengganu dan seluruh ahli Terengganu yang selama ini memberi sokongan serta dokongan kepada PMRAM Pusat.

Satu Fikrah, Satu Amal
Kita PMRAM.

Permata Yang Dicari



Album : Insan Istimewa
Munsyid : De Hearty
http://liriknasyid.com


Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu

PERTUNANGAN MENGIKUT SYARIAT ISLAM

(Source: www.yadim.com.my)

Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama.

Pertama; adakah fardu ain si lelaki 'benar-benar beres' kerana suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan.

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.

Tidak hairanlah apabila selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya, anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi 'Queen Control' kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut hukum Islam.

Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”

Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak, cuma secara beradabnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.

Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.

Bagaimanapun, jika si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya daripada pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti menjaga adab. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai ke hari tua.

Contohnya, orang pada zaman 'salafusaleh', rumah tangga mereka berkat kerana dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.

Namun, kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak 'tidak cantik', tidak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik.

Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya, pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dengan sebentuk cincin saja.

Malah Islam tidak pernah menyusahkan penganutnya dengan cara demikian. Apabila hantaran terlalu tinggi, hilang keberkatan rumah tangga.

Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin, juga wang hantaran ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun, sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut apabila berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.

Begitulah kehendak syariat. Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah s.a.w memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik ialah yang terendah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya.”

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:

“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas kahwinnya.”

Bersabda baginda lagi yang bermaksud:

“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah s.a.w itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda.

Sesetengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham).

Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.

Saidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:

“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya, ayat dalam surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki.

Bagaimanapun, apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan.

Jika begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.

Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperkuatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada tanpa rasa tamak.

Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang diikat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.

Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang ´aman´ daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syariat.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang.

Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat. Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.

Pergaulan yang melibatkan tunang sama ada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Dilarang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita menerusi sabda baginda yang bermaksud:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka jangnlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.

Sebuah Pengharapan

Dalam kegelapan aku mencari suluh cahayaMu...
Demi sebuah pengakhiran yang suci...

Namun, seringkali aku tewas
dalam mendapatkan erti istiqamah
jatuh sebelum tiba waktunya
tersungkur dipertengahan...
aku pasrah...

Tuhan
aku mohon nusrahMu
aku mohon hidayahMu
berikan aku kekuatan
sampaikan secebis ketenangan
satu pengharapan
demi sebuah perjuangan...

Putracairoe06
Iskandariah, Mesir

Pilihanraya PMRAM

Sejak 18tahun yang lalu, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sudah tidak melalui proses pilihanraya. Alhamdulillah, perkara ini telah berlaku pada tahun ini. Ini menunjukkan sikap mahasiswa semakin matang dan optimis.

Pada tahun ini Muktamar Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) akan berlangsung selama 3 hari bermula pada 10 April 2010 sehingga 12 April 2010. Agenda muktamar kali ini akan bermula dengan hari pembuangan undi (Pilihanraya) pada 10 April 2010, Muktamar Hewi pada 11 April 2010 dan berakhir dengan Muktamar Sanawi PMRAM pada 12 April 2010.

Pilihlah calon-calon anda, bukan sekadar mengikut populariti masing-masing. Akan tetapi, undilah mereka yang boleh membawa survival PMRAM dan mereka boleh meneruskan agenda kebajikan, pendidikan dan sebagainya untuk seluruh ahli PMRAM. Paling penting sekali adalah mereka yang akan terus menjulang apa yang telah menjadi dasar kepada PMRAM iaitu Al-Quran dan As-Sunnah S.A.W.

Semoga Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) terus bertapak di bumi Mesir sebagai Persatuan Induk @ NGO yang sentiasa menjaga kebajikan seluruh masyarakat Melayu di Perlembahan Nil ini. Juga, sama-sama kita berdoa agar Allah S.W.T akan sentiasa menjaga kesatuan yang telah lama terbina ini. Insya Allah.

Satu Fikrah, Satu Amal
Kita PMRAM.




 

W3C Validations

Cum sociis natoque penatibus et magnis dis parturient montes, nascetur ridiculus mus. Morbi dapibus dolor sit amet metus suscipit iaculis. Quisque at nulla eu elit adipiscing tempor.

Usage Policies