WEB BLOG
this site the web

Recent Photos

image
image
image

TABARRUJ


Muqaddimah

Tabarruj, ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. Al-Bukhari RahmatuLlahi ‘Alaihi ada berkata: “Tabarruj, iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.”

Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan ‘aurat dan di samping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka dengan yang demikian Allah melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh dari bermake-up (tabarruj).

Maka dengarlah wahai belia-beliawanis Islam semua, segala suruhan Allah s.w.t andainya anda semua beriman denganNya, Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui surah al-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Ketahuilah bahawa kain tudung yang dimaksudkan Allah dan dalam firmanNya yang bermaksud: “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” (al-Nur: 31)

bukanlah terhenti di bahagian kepala sahaja, malahan menutupi bayangan mutiara yang tersisip di dada juga disuruh. Sesiapa yang mendedahkan bahagian kepala atau bahagian dadanya, maka sudah jelas, ia bukan dari seorang yang menghormati suruhan Allah s.w.t.

Akibat dari kecuaian dan kelalaian tersebut sudah pasti seseorang itu menerima azab yang pedih di hari akhirat kelak.

Awas! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Janganlah menampakkan perhiasan” (al-Nur: 31).

Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan dariNya.

Pengertian perhiasan bukanlah terhad pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istemewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu. Sekiranya kecantikan rupa paras seperti ini didedahkan kepada orang lelaki, maka perbuatan demikian juga dinamakan TABARRUJ!.

Ada pula dikalangan wanita yang bertudung, disamping tudung ini diletakkan pula di atasnya kaitan bunga dan ukiran yang menarik, manakala rambutnya yang di bahagian hadapan sengaja dihulurkan keluar dari kain tudung, dan terjuntai menutupi sebahagian dahi dan lesung pipitnya. Andainya angin bayu meniup lalu, sudah jelas rambut tadi terlambai-lambai mengikut arus bayu.

bersambung ...

Sumber :http://ilmampusat.blogspot.com

Perginya Seorang Ulama


Dunia hari ini amat terkejut dengan pemergian seorang alim ulama Syeikh Dr Muhammad Sayyed Tantawi, Syeikhul Azhar. Semoga beliau ditempatkan bersama-sama dengan mereka yang mendapat payung rahmat Allah SWT. Amin Ya Rabbal 'Alamin. Al-Fatihah.

Bagi kita yang masih lagi hidup, fikir-fikirkan kemanakah penghujung kita???

Pengumuman


Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun. Beliau adalah Mursyid Am kelapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928. Dr Muhammad Badi’ (GAMBAR) menggantikan Mursyid Am KeTujuh, Ustaz Mahdi Akef ...yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Sama-sama doakan untuk Gerakan Islam...Allahu Akbar!!!

Peguam Syaraie Menulis: Semua Negeri Patut Warta Fatwa Merokok Haram


Sumber: Berita Harian, Rabu, 6 Januari 2010, m/s 31

Oleh Tuan Musa Awang

Hanya Kedah, Selangor iktiraf muzakarah ulama 1995 anggap perokok pesalah syariah

MULAI 1 Januari lalu, kerajaan menetapkan harga minimum bagi rokok, iaitu RM6.40 bagi 20 batang, atau RM0.32 sen bagi setiap batang rokok, apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang diwartakan.

Langkah itu disambut baik kerana dapat menghindari golongan muda terutama pelajar membeli rokok. Sesetengah berpendapat, harga rokok perlu dinaikkan lebih tinggi bagi membendung aktiviti merokok dikalangan masyarakat.

Merokok adalah proses memasukkan bahan beracun ke dalam tubuh secara sukarela oleh perokok. Tidak kurang daripada 3,800 jenis racun disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu menghisap sebatang merokok. Pada masa sama, tidak kurang juga yang mengeluh, sudah pastinya si perokok.

Isu mengenai bahaya rokok ini bukanlah satu perkara baru. Beberapa fatwa dikeluarkan sebelum ini oleh ulama Islam antarabangsa seperti oleh Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr Ahmad Umar Hashim (Naib Canselor Al-Azhar), Syeikh Ahmad as-Sunhawy al-Bahuty al-Anjalaby, Syeikh Al-Malakiyah Ibrahim al-Qaani dari Mesir, An-Najm al-Gazy al-Amiry as-Syafi'i dari Syria, dan ulama Makkah Abdul Malik al-Ashami, dan juga fatwa Dr Yusuf al-Qardhawi.

Merokok haram hukumnya berdasarkan makna daripada zahir ayat Al-Qur'an dan As-Sunnah serta iktibar (logik) yang benar. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan." Merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan.

Sabda Baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith sahih melarang membazirkan harta kepada hal tidak bermanfaat. Membeli rokok bukan saja memperuntukkan harta pada hal yang tidak bermanfaat, bahkan boleh membawa kemudaratan. Dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud "Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.".

Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 157 yang bermaksud, "Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran)." Rokok dan bau mulut perokok mengganggu orang lain, termasuk pada jemaah solat.

Sejak 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKBHEAI) Kali Ke-37 memutuskan bahawa tabiat merokok adalah haram menurut pandangan Islam.

Akta, enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri-negeri memperuntukkan kenyataan Mufti tidak boleh dikatakan sebagai fatwa dan tidak akan menjadi undang-undang mengikat (binding) melainkan jika ia dikeluarkan melalui prosedur ditetapkan enakmen dan seterusnya disiarkan di dalam warta.

Penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri. Di samping itu, tidak ada mana-mana negeri boleh dipaksa menerima fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan.

Perlanggaran terhadap fatwa yang diwartakan pemerintah negeri adalah kesalahan menurut undang-undang Jenayah Syariah. Semua negeri memperuntukkan hukuman kepada orang Islam yang melanggar fatwa, meskipun wujud perbezaan dari segi jumlah hukuman.

Pada 1997, tiga gadis Islam yang memasuki pertandingan Ratu Cantik di Petaling Jaya Selangor, didakwa atas kesalahan melanggar fatwa negeri Selangor yang menya takan adalah haram bagi wanita Islam menyertai sebarang jenis pertandingan Ratu Cantik (Pendakwa Syarie lwn. Fahyu Hanim Ahmad dll. (2000) JS 8(1),137).

Tahun lalu, lelaki yang mendakwa dirinya Rasul Melayu, Kahar Ahmad didakwa kerana menghina pihak berkuasa agama, menurut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang menyebutkan, "Mana-mana orang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan :- (a) Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua agama Islam ; (b) Majlis (c) Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya."

Di Kedah, seseorang yang melanggar Perintah DYMM Tuanku Sultan boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 32, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 yang memperuntukkan bahawa "(1) Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan boleh, sebagai Ketua Agama Negeri, mengeluarkan apa-apa perintah, dari semasa ke semasa, berkaitan dengan perkara khusus yang tidak bertentangan dengan Hukum Syarak: Dengan syarat bahawa perintah itu hendaklah berkuatkuasa pada tarikh ditetapkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta. (2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah di sub-seksyen (1) adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya."

Selangor sudah mewartakan fatwa pengharaman rokok pada tahun yang sama fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 dikeluarkan. Kedah turut mewartakannya pada tahun berikutnya. Maka orang yang menghisap rokok di negeri Selangor dan Kedah adalah pelaku jenayah Syariah yang boleh didakwa di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah kerana menghina pihak berkuasa agama, serupa dakwaan terhadap tiga peserta pertandingan ratu cantik dan Kahar Ahmad.

Sejak keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan MKBHEAI dikeluarkan pada 1995, hanya negeri Selangor dan Kedah mewartakan fatwa berkenaan. Apa sudah jadi dengan negeri-negeri lain? Adakah negeri lain tidak mengiktiraf fatwa peringkat kebangsaan yang dikeluarkan itu?

Jika ya, apakah fungsi dan peranan sebenar MKBHEAI yang ditubuhkan ketika Sidang Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 1969 untuk memberi nasihat dan syor kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atas apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan, pentadbiran Agama Islam dan pelajaran Agama Islam, dengan tujuan mewujudkan penyelarasan yang berkesan dan seragam antara negeri-negeri dalam pentadbiran hal ehwal orang Islam di negara ini tercapai. Di manakah integriti dan kewibawaan majlis di peringkat kebangsaan ini?

Fatwa rokok yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 15 tahun lalu itu perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

Kita tidak dapat menerima alasan pihak yang melengahkan tindakan mewartakan fatwa ini di peringkat kerajaan negeri, setelah lebih sedekad fatwa peringkat kebangsaan itu dikeluarkan. Kelengahan berterusan jika terus dibiarkan, boleh memberi gambaran buruk kepada imej Islam.

Mengukur Sebuah Cinta

Di dlm Kitab Hayatus Shahabah, halaman 524-525 diriwayatkan kisah berikut:

Menjelang Perang Uhud, Abdullah bin Jahsy mengajak sahabatnya, Sa’d bin Abi Waqqash utk berdoa. Ajakan itu dipersetujui oleh Sa’d. Keduanya mulai berdoa. Sa’d berdoa terlebih dahulu:

“Tuhanku, jika nanti aku berjumpa dgn musuhku, berilah aku musuh yg sgt perkasa. Aku berusaha membunuh dia dan dia pun berusaha membunuhku. Engkau berikan kemenangan kpdku sehingga aku berhasil membunuhnya dan kemudian mengambil miliknya (sebagai rampasan perang).”

Abdullah mengaminkannya. Tiba giliran Abdullah berdoa:

“Tuhanku, berilah aku musuh yg gagah perkasa. Aku berusaha membunuhnya, dan ia berusaha membunuhku. Kemudian ia memotong hidung dan telingaku. Kalau nanti aku bertemu denganMu, Engkau akan bertanya: ‘Man jada’a anfaka wa udzunaka?’ (Siapa yang telah memotong hidung dan telingamu?). Aku akan menjawab bhw keduanya terpotong ketika aku berjuang di jlnMu dan jln Rasulullah (fika wa fi rasulika). Dan Engkau, ya Allah akan berkata: ‘Kamu benar!’ (shadaqta).”

Sa’d mengaminkan doa Abdullah tersebut. Keduanya berangkat ke medan Uhud dan doa keduanya dimaqbulkan Allah.

Sa’d bercerita kepada anaknya, “Duhai anakku, doa Abdullah lebih baik daripada doaku. Di senja hari aku lihat hidung dan telinganya tergantung pd seutas tali.”

Kisah ini telah melukiskan sebuah cara untuk mengukur cinta kita pada Allah. Sementara ramai yang berdoa agar mendapat ini dan itu, seorang pencinta sejati akan berdoa agar dapat bertemu dengan kekasihnya sambil membawa sesuatu yang bisa dibanggakan.

Ketika di Padang Mahsyar nanti Allah bertanya kepada anda: “Dari mana kau peroleh hartamu di dunia?” Anda akan menjawab, “Harta itu ku peroleh dgn kolusi dan korupsi, dengan memalsu kuitansi, dengan mendapat cipratan komisi.”

Allah bertanya lagi, “Apa saja yang telah engkau lakukan di dunia?”
“Ku hiasi hidupku dengan dosa dan nista, tak henti-hentinya ku cintai indah dan gemerlapnya dunia hingga aku dipanggil menghadapMu.” Allah dengan murka akan menjawab, “Kamu benar!”

Bandingkan dengan seorang hamba lain yang ketika di Padang Mahsyar berkata kepada Allah:
“Telah ku tahan lapar dan dahaga di dunia, telah ku basahi bibirku dengan zikir, dan telah ku curahkan waktu dan tenagaku untuk keagungan namaMu, telah ku hiasi malam ku dengan ayat suciMu dan telah ku letakkan dahiku di sejadah untuk bersujud pada kebesaranMu.”

Dan Allah akan menjawab, “Kamu benar!”

Duhai.. adakah kebahagian yang lebih dari itu; ketika seorang hamba menceritakan amalnya dan Allah akan membenarkannya.

Mahukah kita pulang nanti ke kampung akhirat dengan membawa amal yang bisa kita banggakan? Mahukah kita temui Kekasih kita sambil membawa amalan yang akan menyenangkanNya?

Allahu ‘lam bisshawab.

BUBUR ASYURAA'; DI ANTARA ADAT DAN SYARIAT

Tersebut di dalam kitab Nihayatuz Zain, bahawasanya ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s berlabuh di Bukit Juudi pada hari Asyuraa' maka berkatalah Nabi Nuh a.s kepada umatnya:

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih, maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful (Kacang Poi) dan satu genggam kacang adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthoh sehingga menjadi tujuh bagai biji bijian yang dimasak".

Maka berkatala Nabi Nuh a.s: "Masakkanlah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang", maka berdasarkan kisah inilah sebahagian kaum muslimin menjadikan makanan mereka itu daripada biji-bijian (bubur Asyuraa'), dan adalah masakan itu yang pertama dimasak di atas permukaan bumi setelah berlakunya banjir besar dan taufan yang melanda bumi".

Syeikh Ibnu Hajar Al-'Asqolani bersyair dengan katanya yang bermaksud:

Pada hari Asyuraa' tujuh yang dimakan, iaitu Gandum (tepung) dan Beras, kemudian Kacang Mash (kacang kuda) dan Kacang Adas (kacang parpu)

Dan Kacang Himmash (kacang putih) dan Kacang Lubia (sejenis kacang panjang) dan Kacang Ful (kacang Poi),

Inilah pendapat yang soheh dan manqul (yang diambil dari kalam Ulama').

Sesungguhnya peristiwa memasak makanan di Bukit Juudi itu merupakan suatu arahan daripada Nabi Nuh a.s dan setiap arahan para Nabi dan Rasul itu merupakan suatu hukum yang patut dipatuhi oleh umatnya.

Setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW, maka terbatallah hukum hakam atau syariat nabi yang dahulu kecuali beberapa perkara yang juga diamalkan seperti persoalan Aqidah Islamiyyah, khabaran peristiwa umat yang terdahulu untuk diambil pengajaran dan sebagainya.

Dan kita akan dapati di dalam kitab-kitab usul Fiqh ada dibahaskan secara panjang lebar tentang beberapa perkara yang merupakan sumber-sumber rujukan hukum di dalam Islam, iaitu: Al-Quran, al-Hadis, Ijma' Ulama, Qias, Istishab, Istihsan, Maslahatul Mursalah, al-Urf, Sadduz Zara'ii, Amal Ahli Madinah, Mazhab Sahabat dan Ash Syar'uu Man Qablana.

Ash Syar'uu Man Qablana bererti perkara yang berlaku pada zaman dan umat dahulu yang tidak dinasakhkan (dibatalkan) untuk dijadikan iktibar dan panduan hidup berterusan oleh umat yang akan datang.

Maka bubur Asyuraa' merupakan salah satu daripada perkara yang disebutkan sebagai Ash Syar'uu Man Qablana yang boleh kita amalkan dalam kehidupan kita. Itupun kalau dimasak dan diadakan dengan tujuan mengingati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Nuh a.s, di mana manusia lupa dan lalai dengan tuntutan beragama disebabkan menuruti kehendak hawa nafsu yang rakus maka Allah taala tenggelamkan mereka sehingga tiada sesuatu untuk dimakan melainkan sedikit sahaja.

Dan lagi elok kita adakan dan masakkan bubur Asyuraa' dengan tujuan untuk memberi makan kepada keluarga, faqir miskin yang sangat memerlukan kepada makanan dan orang yang berpuasa dan sebagainya.

Dan lebih elok lagi apabila diadakan bubur tersebut secara berjemaah atau gotong-royong yang akhirnya akan menyebabkan terjalinnya ikatan ukhuwwah yang erat dan kukuh.

Tetapi janganlah sampai bubur Asyuraa' dijadikan matlamat, sehingga akhirnya mengenepikan penghayatan terhadap ibadah, seumpama Puasa Sunat Asyuraa'.

Maka dengan tujuan-tujuan di atas tadi, menjadikan bubur Asyuraa' yang kita adakan itu adalah Ibadat. Tetapi sekiranya bubur yang menjadi perseoalan penting dengan semata-mata untuk mencuba resepi baru, sehingga mengenepikan tujuan ianya disyariatkan, maka ianya menjadi adat semata-mata dan kosong dari mendapat ganjaran pahala Allah taala.

Pencalonan Baru Untuk Barisan Kepimpinan PMRAM Dibuka

Sumber: http://www.pmram.org

PMRAM hari ini mengumumkan bahawasanya tarikh pencalonan bagi barisan kepimpinan PMRAM sesi 2010, dibuka bermula pada 23 Disember 2009, bersamaan dengan 6 Muharram 1431H, hari Rabu sehingga pada 30 Disember 2009, besamaan dengan 13 Muharram 1431H, hari Rabu.

Segala urusan pencalonan boleh dibuat sepanjang tarikh tersebut melainkan pada hari Jumaat. Borang pencalonan boleh didapati di Pejabat PMRAM, bagi ikhwah dan di Rumah Selangor, Hayyu 'Asyir bagi pencalonan akhawat. Setiap borang pencalonan yang hendak dihantar, perlu menghantar dari terikh permulaan pembukaan pencalonan sehingga pada tarikh akhir pencalonan selewat-lewatnya pada jam 4 petang.

Segala permasalahan, bolehlah terus berhubung kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PMRAM, Saudara Rafzan bin Razak di talian, +20114527822 bagi ikhwah, dan Saudari Huzaimah binti Mustaffa di talian, +20191228204.
 

W3C Validations

Cum sociis natoque penatibus et magnis dis parturient montes, nascetur ridiculus mus. Morbi dapibus dolor sit amet metus suscipit iaculis. Quisque at nulla eu elit adipiscing tempor.

Usage Policies